suria

Mayat Bayi Baru Lahir Ditemui Dalam Tong Sampah

KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan baru lahir yang dibungkus dalam beg plastik ditemui bersama longgokan sampah di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul di sini, malam tadi.

Mayat yang masih bertali pusat dan diselimut dengan kain itu ditemui dalam tong sampah pada kira-kira pukul 10 malam oleh pengutip barang-barang lusuh ketika menggeledah tong sampah di flat itu.

"Ketika lelaki itu menggeledah tong sampah untuk mencari barang-barang yang boleh dikitar semula, dia menemui satu bungkusan plastik yang berisi mayat bayi itu bersama urinya," kata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan bayi itu dibuang dalam tempoh kurang dari empat jam sebelum mayatnya ditemui.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA