suria

Penyelia Tapak Pembinaan Disamun RM100,000 Selepas Diekori

KUALA LUMPUR: Seorang penyelia sebuah syarikat pembinaan yang baru sahaja mengeluarkan wang RM100,000 dari sebuah bank di Subang Jaya untuk gaji pekerjanya disamun oleh empat lelaki di Jalan Mahameru setelah mengekori sejauh 25km.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan berkata, penyelia lelaki yang berumur 33 tahun itu tidak menyedari dirinya diekori, sebelum kejadian itu pada pukul 4.30 petang semalam.

Beliau berkata ketika dalam perjalanan menuju ke sebuah tapak pembinaan di ibu negara, kereta mangsa jenama Suzuki telah dihalang sebuah kereta lain jenama Mercedez Benz berwarna hitam yang dinaiki empat lelaki di Jalan Mahameru berhampiran susur keluar ke Jalan Parlimen.

"Dua dari empat suspek kemudian keluar dengan membawa parang lalu bertindak memecahkan tingkap kiri dan kanan kereta mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zakaria berkata seorang dari dua suspek itu kemudian mengacu parang ke arah mangsa manakala seorang lagi membuka papan pemuka kereta mangsa dan mengambil sampul surat yang berisi wang tunai itu. Katanya setelah mendapat wang tunai itu, kesemua suspek terus melarikan diri tanpa mencederakan mangsa.

"Sejurus kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di balai polis berhampiran dan mendakwa wang terbabit digunakan untuk membayar gaji pekerja.

"Kita percaya mangsa telah diperhatikan ketika mengeluarkan wang di bank sebelum diekori dan disamun," kata Zakaria.

Menurutnya polis masih memburu keempat-empat suspek yang masih belum dikenalpasti identiti mereka itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain