suria

Ketua Pengarah Miros Antara Tujuh Dilantik Anggota SPAD

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Prof Dr Ahmad Farhan Sadullah antara tujuh yang lantik sebagai anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), berkuatkuasa hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan kesemua anggota Suruhanjaya berkenaan yang akan berkhidmat bagi tempoh tiga tahun.

Berdasarkan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, turut dilantik ialah Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, anggota Majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA) Datuk Khalid Ahmad.

Pengarah WZ Steel Berhad (sebelum ini dikenali Weng Zheng Resources Berhad) Datuk Siow Kim Lun, Setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Irwan Siregar Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah II Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Himmat Singh Ralla Singh dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Wan Ahmad Shihab Ismail.

"Kesemua anggota yang dilantik terdiri daripada wakil-wakil sektor awam dan swasta. Pelantikan mereka adalah berdasarkan pengetahuan serta pengalaman dalam pelbagai bidang serta kemampuan mereka untuk memainkan peranan efektif dalam melaksanakan fungsi dan tugas Spad ke arah merealisasikan objektif penubuhannya," menurut kenyataan itu.

Pelantikan itu juga menyusuli pengumuman pelantikan Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi dan Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal selaku Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya tersebut berkuatkuasa 3 Jun lepas, katanya.

Suruhanjaya yang terletak di bawah pemantauan Perdana Menteri itu akan bertanggungjawab terhadap hampir semua aspek berkaitan pengangkutan darat di Malaysia, di bawah pentadbiran satu badan induk.

Dengan pelantikan itu, Spad diyakini akan dapat memainkan peranannya dalam usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam bagi kesenangan rakyat, iaitu salah satu bidang tumpuan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu, menurut kenyataan itu lagi.

Dr Ahmad Farhan ialah Dekan Kajian Kejuruteraan Sivil Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum dilantik Ketua Pengarah Miros.

Lulusan doktor falsafah (PhD) dalam Kajian Pengangkutan dari University of London itu semasa bertugas sebagai Profesor Madya di USM telah bertindak sebagai Pengerusi Program Kejuruteraan Geoteknikal, Lebuhraya dan Pengangkutan (USM) dan Koordinator Unit Pembangunan Inovasi dan Teknologi (EITD). Beliau pernah menjalankan beberapa penyelidikan khusus dalam pengangkutan seperti Sistem Pengangkutan Pintar, tingkah laku semasa dalam perjalanan dan kejuruteraan trafik, selain menerbitkan beberapa buah buku dan jurnal berkaitan pengangkutan di Malaysia.

Dr Mahani ialah Ketua Pengarah ISIS antara 2007 dan 2009, dan sebelum itu beliau ialah Timbalan Pengarah di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi.

Dr Mahani memperoleh PhD (Pembangunan Ekonomi) dari University of London dan bidang penyelidikan beliau ialah perindustrian dan transformasi ekonomi, perdagangan antarabangsa dan integrasi serantau.

Bekas Presiden Jawatankuasa Penasihat Malaysia, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), Khalid sebelum itu ialah Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan pernah menjadi Pengarah Urusan Syarikat Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Wan Ahmad yang merupakan seorang peguam, bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan memantau dasar pengangkutan dan isu berkaitan pengangkutan awam. Beliau juga ialah Pengarah Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDec).

Berpengalaman luas dalam bidang ekonomi dan kewangan, Siow ialah Pengarah XingQuan International Sports Holdings Limited dan Citibank Berhad serta Pengarah Bukan Eksekutif UMW Holdings Berhad, manakala Dr Mohd Irwan Serigar mempunyai pengalaman luas berkhidmat dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA

Artikel Lain