suria

Keputusan Permohonan Kamalanathan Batalkan Petisyen Zaid 5 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Piihan Raya di sini akan mengumumkan pada 5 Ogos ini keputusan mengenai permohonan Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan untuk membatalkan petisyen pilihan raya Datuk Zaid Ibrahim, calon yang ditewaskannya pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azahar Mohamed, yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Pilihan Raya, menetapkan tarikh itu selepas peguam kedua-dua pihak selesai berhujah selepas empat hari.

Zaid, yang juga ketua Parti Keadilan Rakyat Wilayah Persekutuan, memfailkan petisyen itu pada 24 Mei lepas dan menamakan Kamalanathan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan Parlimen Hulu Selangor Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden.

Zaid, yang tewas pada pilihan raya 25 April itu dengan majoriti 1,725 undi kepada Kamalanathan daripada Barisan Nasional, memohon supaya mahkamah mengisytiharkan keputusan pilihan raya itu batal dan tidak sah, kerana mendakwa terdapat perbuatan rasuah dalam bentuk sogokan dan janji kepada pengundi.

Terdahulu, peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Kamalanathan ketika menjawab hujah peguam Zaid semalam berkata, pempetisyen gagal menunjukkan dalam afidavitnya elemen janji dan tawaran yang menyebabkan pengundi Hulu Selangor mengubah fikiran mereka untuk tidak mengundi beliau.

Beliau juga berhujah mengenai alasan teknikal dan pentadbiran iaitu bagaimana petisyen itu diserahkan dan difailkan, yang menurutnya adalah cacat kerana tidak mematuhi keperluan mandatori mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1958.

Malik Imtiaz Sarwar, peguam yang mewakili Zaid pula berkata, mahkamah tidak sepatutnya menumpukan perhatian terhadap kes petisyen pilihan raya yang telah dibatalkan ketika mendengar permohonan itu, tetapi perlu menetapkan satu dasar dalam menolak permohonan sedemikian dengan terus mendengar keterangan serta bukti melalui satu perbicaraan penuh.

Firoz sebelum ini berkata hampir 90 peratus petisyen telah dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya tanpa perbicaraan penuh dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. - BERNAMA

Artikel Lain