suria

Kastam Tahan Seorang Rakyat India, Rampas Dadah RM1.25 Juta

KOTA BAHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya mengagalkan cubaan menyeludup dadah yang dipercayai syabu seberat 5.02 kilogram bernilai RM1.25 juta, selepas menahan seorang lelaki warga India di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dekat sini, Khamis.

Pengarah KDRM Kelantan, Salleh Mohamed berkata lelaki berumur 26 tahun yang berasal dari daerah Banggala itu kini ditahan di ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah bagi membantu siasatan.

Beliau berkata seorang pegawai kastam yang bertugas di lapangan terbang berkenaan menemui kristal jernih yang disyaki syabu itu disembunyikan dalam dua periuk nasi yang dibawa lelaki itu, yang dimuatkan dalam beg perjalanannya pada kira-kira pukul 11.20 pagi.

"Selepas pemeriksaan teliti dibuat, periuk yang ditebuk pada bahagian tepi dan bawah itu didapati menyimpan dua bungkusan plastik yang mengandungi bahan kristal jernih dipercayai syabu. Pihak kami terus merampas bahan itu," katanya pada satu persidangan media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata rampasan itu merupakan kes penyeludupan dadah kedua yang berjaya dikesan pihaknya minggu ini, selepas Pegawai Narkotik dari ibu pejabat Kastam menemui 32 ketul ganja mampat bernilai RM75,000 di Pengkalan Kubur, Rabu lepas.

"Dalam kes itu ganja seberat 29.89 kilogram itu yang cuba diseludup ditemui tersembunyi dalam tayar ganti yang dimuatkan dalam but kereta yang dipandu oleh lelaki warga negara Thailand. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain