suria

Dua Penjenayah Ditembak Mati

PETALING JAYA: Dua lelaki seorang daripadanya rakyat tempatan ditembak mati selepas cuba menyerang polis dengan menggunakan parang dan pistol ketika mereka cuba menyamun sebuah rumah di Kampung Orked, dekat Kampung Melayu Subang di sini Khamis malam. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah berkata sebelum insiden itu pada kira-kira pukul 9 malam dua lelaki berkenaan bersama dua lagi rakan mereka disyaki cuba menyamun sebuah banglo milik seorang pesara TNB. "Bagaimanapun suspek membatalkan hasrat itu apabila tuan rumah ternampak kelibat mereka berkeliaran dalam keadaan mencurigakan sebelum menelefon pihak polis.

"Menyedari keadaan itu suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dan memecut laju kereta mereka menuruni bukit di kawasan rumah itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, bertindak atas aduan, dua kereta peronda polis bersama lapan anggota yang sedang membuat rondaan di kawasan itu bergegas ke tempat kejadian sebelum bertembung dengan kereta suspek.

"Satu kereta polis yang berada di atas bukit ternampak sebuah kereta Inokom Atos dipandu laju menuruni bukit sebelum hampir melanggar sebuah lagi kereta polis yang berada di bawah simpang bukit tersebut," katanya.

Beliau berkata salah seorang suspek yang memandu kereta itu kemudiannya keluar dan mengacukan pistol semi auto .9mm sebelum melepaskan satu das tembakan ke arah polis dan dalam masa yang sama seorang lagi turut keluar mengacukan parang.

Katanya polis yang berada di atas bukit terpaksa berlari dengan melepaskan tembakan yang mengenai kedua-dua suspek.

"Hasil pemeriksaan kita dapati dua lagi suspek tiada dalam kereta. Kita akan memburu kedua-dua mereka," katanya.

Beliau berkata salah seorang suspek yang ditembak mati berasal dari Jalan Klang Lama manakala seorang lagi belum dikenali identiti kerana tiada dokumen pengenalan diri bersamanya.

Katanya polis turut menemui satu lagi parang dan alat pecah rumah di dalam kereta yang dilaporkan dicuri di Sungai Jarum pada 16 Julai lalu. - BERNAMA

Artikel Lain