suria

Sindiket Jual Bayi: Tiga Bebas Dengan Jaminan Polis

KUCHING: Tiga suspek termasuk sepasang suami isteri, yang ditahan berkaitan sindiket penjualan bayi, telah dibebaskan pada Khamis dengan jaminan polis.

Majistret Nelson W. Angang membebaskan seorang lelaki berusia 40 tahun dan isterinya yang berusia 46 tahun serta pemandu seorang datuk, 48, petang ini.

Ketiga-tiga mereka telah ditahan reman selama enam hari selepas ditangkap Khamis lepas di lokasi berasingan antara 9 malam hingga 11 malam.

Sehari sebelum itu, polis menahan seorang lelaki berusia 65 tahun bergelar datuk, isterinya yang berusia 43 tahun, enam anggota keluarga dan rakan pasangan itu berkaitan kes sama.

Tempoh tahanan reman mereka telah dilanjutkan sehingga Jumaat.

Lelaki berusia 40 yang dibebaskan hari ini merupakan adik lelaki datin manakala pemandu itu pula adalah pekerja datuk.

Sementara itu, di mahkamah sama, Angang melanjutkan tempoh tahanan reman selama empat hari sehingga 27 Julai ini terhadap seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai membekalkan bayi dan kanak-kanak, bagi membantu siasatan polis.

Terdahulu, Majistret Dayang Roselind Awang Mahdini memerintahkan tahanan reman seorang wanita warga Indonesia berusia 32 tahun dilanjutkan selama tujuh hari.

Wanita itu ditahan di Bandar Baru MJC di Batu Kawa di sini, selepas menjual seorang bayi perempuan berusia 23 hari kepada seorang anggota polis yang menyamar, Isnin lepas.

Sejumlah 17 individu ditahan reman berhubung sindiket penjualan bayi itu.

Polis telah menyelamatkan lapan kanak-kanak termasuk tiga bayi yang berusia antara sebulan dan 12 tahun, di lokasi berlainan di sekitar bandar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain