suria

Polis Tahan Penganggur Dipercayai Pengedar Dadah

ALOR SETAR: Polis merampas 180 gram dadah dipercayai syabu, 177 gram dadah dipercayai ketamin dan 400 biji pil dipercayai eramin 5 selepas menahan seorang lelaki di belakang sebuah restoran di Simpang Kuala dekat sini awal pagi Khamis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Deputi Supritendan Zainuddin Saad berkata penganggur berumur 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 pagi ini.

Katanya lelaki itu dipercayai baru hendak mengedar dadah semasa ditahan polis, dan selepas diperiksa, polis menemui semua dadah yang dianggar bernilai RM74,000 itu.

Bercakap kepada pemberita di sini, Khamis, beliau berkata polis percaya dadah itu akan diedar kepada penagih di sekitar bandar raya Alor Setar, dan menurutnya polis turut merampas mata wang China bernilai 40,000 Yuan (RM29,000)yang ditemui pada lelaki itu.

Sementara itu dalam kes berasingan Zainuddin berkata seorang penoreh getah berumur 26 tahun ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Pokok Sena kira-kira pukul 6.30 petang Rabu kerana memiliki 105 gram dadah dipercayai heroin serta 30 biji pil disyaki pil khayal, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM4,000.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang positif dadah itu direman selama tujuh hari bermula hari ini, dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain