suria

Pemandu Peribadi Terima Sijil, Bantu Lelaki Dalam Kejadian Ragut

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu peribadi antara yang menerima sijil penghargaan daripada polis hari ini selepas membantu seorang lelaki dalam kejadian ragut di tempat letak kereta di Sri Petaling, pertengahan bulan lepas.

Khairul Fahmi Md Yusof, 32, berkata, kejadian kira-kira 5 petang itu berlaku ketika beliau menunggu majikannya di dalam sebuah kereta yang terletak lima meter dari tempat kejadian.

"Saya nampak seorang lelaki menaiki motosikal cuba ragut beg yang dipegang mangsa dan pada masa yang sama berlaku kejadian tarik-menarik. Geram dengan tindakan peragut itu, saya kemudiannya berlari ke arah peragut terbabit dan bertindak memukulnya dengan topi keledar yang dibawa bersamanya," katanya yang ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini.

Pada majlis itu, sembilan anggota RELA, dua anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan 12 anggota polis yang menunjukkan prestasi cemerlang, turut menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Sementara itu, Wan Abdul Bari berkata, tindakan orang ramai membantu mangsa ragut amat dihargai, namun seseorang itu tidak digalakkan mengambil tindakan sendiri bagi menahan atau mencederakan suspek kerana dikhuatiri suspek memiliki senjata yang boleh mendatangkan bahaya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain