suria

Pelajar Perlu Beri tumpuan 3K Untuk Layak Ke IPT - Saifuddin

KUANTAN: Para pelajar dinasihat memberi tumpuan kepada elemen 3K iaitu kursus, kelayakan dan kokurikulum sekiranya mahu terpilih ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata elemen berkenaan juga perlu dipandang serius oleh tenaga pengajar dan ibu bapa selain pelajar itu sendiri.

Mengenai elemen kursus, katanya seseorang pelajar itu perlu bijak memilih kursus yang bakal diambilnya di universiti kelak selaras dengan kebolehan dan kemahirannya, bukannya kerana kursus itu popular atau hanya mengikut kawan semata-mata.

"Perlu pilih kursus yang betul dan betul-betul minat dan bukannya mengikut kawan sebab kalau tidak minat kursus itu akan membawa kepada masalah lain pula akhirnya," katanya kepada pemberita di majlis penutup program Selangkah Ke Universiti di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini, Khamis.

Saifuddin berkata bagi elemen kelayakan, pelajar perlu memohon kursus yang sesuai dengan kelayakan dan yang ditawarkan universiti.

Beliau berkata pelajar yang gagal ditawarkan ke universiti kebiasaannya tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan sesuatu universiti itu di mana syaratnya berbeza mengikut tahun.

"Mereka mempersoalkan kenapa yang dapat 6A tidak dapat tempat sedangkan yang dapat 5A diberikan tempat. Mungkin kelayakan yang dapat 6A itu tidak sesuai dengan kehendak universiti berkenaan," katanya.

Beliau berkata pelajar juga perlu menyedari bahawa persaingan sesama mereka sendiri untuk mendapat tempat di IPT semakin kompetitif justeru mereka perlu tahu kelayakan yang diperlukan oleh universiti setiap tahun.

Selain itu, katanya kokurikulum juga perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar kerana untuk layak ke IPT, pertimbangan yang diberikan ialah 10 peratus untuk kokurikulum manakala 90 peratus lagi adalah akademik.

Katanya sekiranya seorang pelajar itu hanya cemerlang di dalam bidang akademik manakala kokurikulumnya sifar, kebarangkalian peluangnya untuk ke universiti juga adalah kurang.

Ini kerana universiti-universiti amat selektif dalam memilih pelajarnya dan hanya yang cemerlang dalam kedua-dua bidang akan diberi keutamaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain