suria

Peguam Sakit, Hujahan Kes Bunuh Syafiah Humaira Tangguh

SHAH ALAM: Hujahan di peringkat akhir pendakwaan kes bunuh seorang kanak-kanak, Syafiah Humaira Sahari yang dijadualkan pada Khamis, di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan ekoran peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil sakit.

Masalah kesihatan yang dialami peguam Gurbachan Singh dibawa ke pengetahuan mahkamah oleh peguam Kartar Singh semasa kes dipanggil di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.

“Gurbachan menghidap penyakit kencing manis sejak 15 tahun lalu dan saya percaya penyakitnya adalah berkaitan dengan masalah tersebut,” kata Kartar dan memohon agar diberikan penangguhan.

Perkara itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani yang mewakili pihak pendakwaan memandangkan ia merupakan penangguhan kali ketiga dengan alasan yang sama.

Sebelum ini, hujahan itu dijadualkan didengar pada 15 dan 20 Julai lalu.

“Pihak kami hanya menerima surat sijil sakit pada 14 Julai lalu. Bukan kami tidak percaya, tetapi kamu mahu bantahan kami direkodkan memandangkan kami telah bersedia,” kata Idham.

Beliau juga mencadangkan supaya hujahan itu dibuat secara bertulis bagi menjimatkan masa dan mengelakkan masalah sama berulang. Sekiranya perlu, barulah pihak-pihak berhujah secara lisan.

Cadangan itu turut dibantah oleh Kartar yang berkata: ”Saya telah bercakap dengan Gurbachan dan beliau mengatakan tidak berada dalam keadaan yang membolehkan beliau berbuat demikian. Beliau berminat untuk berhujah secara lisan.”

Bagaimanapun, Mohtarudin berkata, hujahan lisan akan mengambil masa sekiranya seorang peguam asyik mengulangi perkara yang sama.

“Saya bersetuju bahawa kita tidak boleh mengelak dari sakit. Tapi pada masa yang sama, kita perlu memastikan keadilan untuk tertuduh yang sedang direman.

“Saya benarkan penangguhan tetapi hujahan bertulis adalah wajib. Mahkamah memberi masa secukupnya untuk menyediakan hujahan tersebut,” tambah Mohtarudin.

Beliau menetapkan hujahan itu didengar pada 11 dan 12 Ogos ini.

Mohd Fazli Azri, 28, didakwa atas tuduhan membunuh Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan, pada jam 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Bekas pemandu teksi itu kini berhadapan dengan hukuman mati jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, selepas tertuduh dibawa masuk ke mahkamah, ahli keluarganya yang hadir dilihat bergilir-gilir memeluk tertuduh dan ada di antara mereka yang menangis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain