suria

Naib Presiden PPP Sambut Baik Langkah MIC Terima Murugiah Jadi Anggota

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz pada Khamis menyambut baik hasrat MIC menerima Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah sebagai anggota parti itu.

Beliau berkata ia merupakan perkembangan terbaik buat Murugiah kerana sejak dipecat dari parti, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak menganggotai mana-mana parti politik, dan PPP tidak membantah keputusan MIC untuk menerima Murugiah sebagai seorang anggota biasa MIC.

"Penyertaan Murugiah ke MIC tidak akan menimbulkan masalah kepada PPP, atau memberi kesan kepada hubungan antara kedua-dua parti kerana PPP semakin mendapat sokongan kuat dari anggota di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) hari ini, bahawa parti itu akan menerima Murugiah sebagai anggotanya, namun bekas Ketua Pemuda PPP itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam MIC.

Murugiah dipecat oleh Presiden PPP Datuk M. Kayveas tahun lepas ekoran kemelut perebutan kuasa dalam kepimpinan parti itu.

Sementara itu Naib Presiden MIC Datuk S.K. Devamany berkata pada mesyuarat CWC hari ini, anggota MT sebulat suara memutuskan untuk menerima Murugiah sebagai anggota MIC.

"Saya harap penyertaannya dalam MIC dapat mengukuhkan masyarakat India dan memperkasa peranan MIC sebagai sebuah komponen parti Barisan Nasional dengan mengembalikan sokongan kaum India terhadap parti MIC seterusnya bersama-sama melakukan persediaan untuk pilihan raya yang akan datang," katanya.

Beliau juga menegaskan penerimaan Murugiah ke MIC tidak akan menjejaskan hubungan antara MIC dan PPP, kerana masing-masing perlu berkerjasama demi memastikan BN mendapat sokongan kuat dan meneruskan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Bagaimanapun, Murugiah tidak boleh memegang apa-apa jawatan di peringkat atasan, bahagian dan pusat dalam tempoh tiga tahun dan mesti mematuhi perlembangaan MIC seperti mana anggota-anggota lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain