suria

MINDEF Akan Dapatkan Nasihat Undang-Undang Berhubung Nota Tuntutan Tharmendran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mendapatkan nasihat undang-undang berhubung nota tuntutan yang diterima pagi ini daripada peguam yang mewakili Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa bersubahat mencuri enjin pesawat pejuang TUDM.

"Mindef akan mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam Mindef untuk tindakan susulan berhubung Note of Demand (Nota Tuntutan) yang telah diterima," menurut kenyataan Kementerian Pertahanan di sini Khamis.

Menurut kenyataan dua perenggan itu, nota tuntutan itu diterima oleh Pegawai Penasihat Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan, Brigadier Jeneral Dzahir Abd Rashid daripada peguam yang mewakili Tharmendran, N.Surendran.

Sementara itu, jurucakap kementerian itu yang dihubungi Bernama berkata nota tuntuan itu yang ditujukan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Ahmad Zahid memberi jaminan akan keselamatan anak guamnya.

Selain itu, ia juga meminta Ahmad Zahid mengeluarkan jaminan secara bertulis terhadap keselamatan Tharmendran daripada ditahan atau campur tangan TUDM atau ejennya.

Nota tuntuan itu juga mahu Ahmad Zahid mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa terlibat "menyeksa" Tharmendran sewaktu ditahan sebelum ini.

Pada perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin lepas, Tharmendran, 41, telah memilih untuk kembali ke penjara Sungai Buloh selepas gagal mendapat perintah perlindungan daripada mahkamah tersebut walaupun bapanya N. Nagarajah telah membayar wang jaminan RM50,000.

Beliau telah membuat permohonan untuk mendapatkan perlindungan sementara dengan mendakwa dirinya terasa terancam berikutan dakwaannya beberapa pegawai dari bahagian perisikan TUDM telah datang ke rumah ibu bapanya di Seremban untuk mengambilnya secara paksa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain