suria

Wang Haram: Dua Bebas Tuduhan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, melepas dan membebaskan seorang ahli perniagaan, Datuk Alexander Chako Varghese daripada tiga tuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) yang melibatkan wang tunai hampir RM10 juta.

Hakim Jagjit Singh pada penghakimannya juga melepas dan membebaskan bekas bendahari Pemuda MIC, Ganesan Subramaniam, 34, daripada pertuduhan hampir sama melibatkan dua keping cek berjumlah RM400,000.

Dalam penghakimannya, Jagjit berkata, beliau mendapati pertuduhan tersebut cacat dan bertentangan dengan Seksyen 152 Kanun Prosedur Jenayah kerana ia tidak dijelaskan kepada tertuduh bagi membolehkan mereka membela diri secara adil.

Dalam kes ini, Alexander, 49, didakwa terlibat dalam transaksi jual beli tanah GM2968, Lot 1599 di sini yang merupakan hasil aktiviti haram di Pejabat Tetuan Megat Najmuddin Leong & Co, Jalan Bangsar, antara 14 September dan 1 Oktober 2004.

Dia yang merupakan Pengarah Syarikat Triscenic Sdn Bhd juga didakwa menggunakan tanah yang sama sebagai cagaran untuk memperoleh pinjaman sebanyak RM10,500,000 dari Malaysian Assurance Alliance Berhad di Jalan Dewan Bahasa di sini, antara 19 Oktober dan 27 Disember 2004.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima RM10 juta melalui akaun Firma Tetuan Megat Najmuddin Leong & Co di RHB Bank Berhad, The Boulevard, MJId Valley, di sini, pada 8 dan 24 Februari 2005.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan mengikut Seksyen 4(1) AMLA dan dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Sementara itu, Ganesan pula didakwa bagi kesalahan menerima wang sebanyak RM400,000 melalui dua keping cek di bank RHB yang sama pada tarikh yang sama.

Alexander diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran, Raj Shankar dan Yogeswaran manakala peguam M.M.Athimulan mewakili Ganesan.

Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Perbicaraan yang bermula pada Oktober 2006 melibatkan keterangan 29 saksi pendakwaan.

Pada 21 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir melepas tanpa membebaskan Alexander dan Ganesan selepas mendapati kecacatan di setiap pertuduhan kerana tidak menyatakan dengan jelas kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdull Hamid Embung (semasa itu) pada 19 Jun 2006 memerintahkan kes dibicarakan semula selepas membenarkan rayuan pendakwaan atas alasan pertuduhan yang tidak sempurna bukan alasan untuk membebaskan seseorang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain