suria

Status Agama Moorthy Sama Ada Dalam Bidang Kuasa Mahkamah Sivil Diputuskan 6 Ogos

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan memutuskan 6 Ogos ini sama ada Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama pendaki Everest Sarjan M.Moorthy di mana penukaran agamanya sebagai seorang Islam, dipertikaikan.

Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Zainun Ali, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner menetapkan tarikh itu bagi membuat keputusan dalam rayuan yang dibawa balu Moorthy, S.Kaliammal selepas selesai mendengar penghujahan.

Hakim Zainun berkata korum memerlukan beberapa hari untuk memberikan keputusan mereka dalam perkara itu kerana terdapat merit untuk dipertimbangkan walaupun tidak terdapat keterangan baru.

Jika keputusan menyebelahi S.Kaliammal, 35, pendengaran kesnya akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi.

Beliau merayu berhubung keputusan Mahkamah Tinggi 28 Dis, 2005 yang enggan menentukan berhubung status agama suaminya atas alasan perkara itu di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Kaliammal memfailkan saman pemula pada 21 Dis, 2005 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang antara lain, menuntut satu perisytiharan bahawa Moorthy beragama Hindu.

Hari berikutnya, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan mendapat perintah ex-parte dari Mahkamah Syariah yang menyebut bahawa Moorthy telah memeluk Islam sebelum kematiannya.

Perintah itu juga membenarkan Majlis untuk mengebumikan Moorthy, yang nama Islamnya ialah Mohamad Abdullah, menurut agama Islam dan hukum syarak.

Beliau dikebumikan pada 28 Dis, 2005 di tanah perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, Selangor.

Moorthy menjadi lumpuh selepas terjatuh semasa mengikuti latihan di Kem Sungai Udang di Melaka pada 14 Ogos, 1998 dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Beliau menjadi koma selepas terjatuh daripada kerusi roda dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 20 Dis, 2005.

Dalam prosiding rayuan, peguam M.Manoharan yang mewakili Kaliammal berkata Mahkamah Tinggi Sivil boleh mendengar permohonan anak guamnya kerana Kaliammal, sebagai seorang isteri bukan Islam, mempunyai jalan lain untuk mendapatkan bidang kuasa mahkamah sivil.

Beliau berkata ini demi faedah Kaliammal mendapatkan perbicaraan adil memandangkan perintah Mahkamah Syariah mengisytiharkan Moorthy seorang Islam, selepas majlis memperoleh perintah ex parte.

Manoharan berkata Mahkamah Sivil mempunyai kuasa yang diperlukan dan bidang kuasa untuk mempertimbang perkara-perkara berkaitan menolak dan memeluk Islam.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis itu mempersoal bahawa perkara itu tidak sepatutnya diremit semula kepada Mahkamah Tinggi untuk ditentukan kerana wujudnya satu perintah Mahkamah Syariah yang menyebut bahawa Moorthy adalah seorang yang beragama Islam, ia sudah cukup untuk menamatkan perkara itu.

"Isu utamanya ialah keadilan kepada simati. Memandangkan terdapat bukti dari Majlis bahawa beliau ialah seorang Islam, jadi beliau sepatutnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Majlis itu adalah sebuah badan yang bertanggungjawab memastikan kepentingan saudara baru termasuk pengebumian," katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Arik Sanusi Yeop Johari berkata Kaliammal mempunyai remedi di bawah undang-undang untuk mencabar suaminya memeluk Islam dengan memberi keterangan di Mahkamah Syariah berhubung status agama Moorthy.

Bagaimanapun, beliau berkata Kaliammal boleh memilih untuk tidak menggunakan haknya seperti yang disediakan mengikut Seksyen 83 (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain