suria

RM50,000 Untuk Penuntut Malaysia Di Australia

MELBOURNE: Kerajaan Malaysia memberi peruntukan RM50,000 kepada Jabatan Penuntut Malaysia di Australia bagi menjalankan aktiviti program Rakan Muda. Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery berkata penuntut di luar negara perlu menunjukkan sikap kepimpinan dalam memupuk semangat 1Malaysia serta turut melibatkan penuntut Australia dalam semua aktiviti Rakan Muda.

"Di Britain, penuntut Malaysia hanya bercampur dengan rakan senegara mereka. Begitu juga di AS (Amerika Syarikat) dan Australia. Malah di Indonesia mereka tidak bergaul dengan penuntut Indonesia walaupun mempunyai bahasa yang sama.

"Malah di kalangan rakyat Malaysia, mereka mempunyai kumpulan tertentu seperti kumpulan Selangor, kumpulan Terengganu, kumpulan Johor...," katanya ketika melancarkan program itu di sini.

Ahmad Shabery meminta penuntut Malaysia di sini mengambil inisiatif untuk menjalin persahabatan dan bergaul dengan rakyat Australia.

Sementara itu Zaharuddin Shamsuddin dari Jabatan Penuntut Malaysia di Sydney, berkata peruntukan RM50,000 itu akan diguna bagi meningkatkan aktiviti yang mesti melibatkan penuntut Australia.

"Saya telah meminta pemimpin pelajar dari Victoria, New South Wales dan Western Australia menghantar senarai aktiviti untuk kelulusan," katanya.

Pemimpin pelajar Haerris Riani pula berkata lebih 60,000 rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran ke luar negara dan program Rakan Muda akan meningkatkan perpaduan di kalangan penuntut.

Haerris berkata beliau berharap kerajaan Malaysia akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan penuntut Malaysia di luar negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain