suria

Malaysia, Britain Tandatangani Perjanjian Banteras Jenayah

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Britain hari ini menandatangani satu perjanjian untuk bekerjasama mencegah dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

Perjanjian Bersama Bantuan Undang-undang Dalam Perkara Jenayah itu ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagi mewakili kerajaan Malaysia manakala Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia William Boyd McCleary mewakili negaranya.

Bantuan undang-undang itu ialah satu proses di mana permintaan sesebuah negara dan memberikan bantuan dengan mengumpulkan keterangan yang akan digunakan dalam penyiasatan atau prosiding jenayah.

Perjanjian itu bertujuan untuk memudahkan proses bantuan undang-undang dan pengumpulan keterangan dalam penyiasatan atau prosiding jenayah antara Kuala Lumpur dan London tetapi pelaksanaan untuk bantuan itu akan dilakukan mengikut undang-undang domestik masing-masing.

"Perjanjian ini mengambil masa dua setengah tahun untuk dimuktamadkan dan ia membuktikan kerjasama penting antara agensi penguatkuasa undang-undang Malaysia dan United Kingdom," kata Abdul Gani ketika mengulas mengenai perjanjian tersebut sebelum upacara itu bermula di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Britaih di sini.

Perjanjian itu menawarkan bantuan meluas termasuk daripada segi pengumpulan bukti dan kenyataan, urusan mengatur perjalanan seseorang ke negara lain bagi memberi keterangan atau membantu dalam penyiasatan, penyerahan dokumen, urusan carian dan rampasan, mengesan dan mengenal pasti orang, benda atau tempat terbabit, memeriksa objek dan tempat kejadian, membekukan dan merampas aset atau harta dan mengutip bayaran denda serta mengenal pasti atau mengesan pendapatan daripada kegiatan jenayah.

Malaysia dan Britain memulakan rundingan berhubung perjanjian tersebut untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara memerangi jenayah rentas sempadan termasuk pengganas antarabangsa, pemerdagangan manusia dan penyeludupan pendatang haram.

Abdul Gani berkata dengan perjanjian itu ia membuktikan kejayaan kerjasama yang telah berlanjutan berdasarkan undang-undang domestik kedua-dua negara sejak 2003 dan faedah utama perjanjian itu ialah prosedur-prosedur ditetapkan dengan lebih jelas dalam membuat permintaan untuk saling membantu dalam perkara-perkara jenayah.

"Walaupun perjanjian telah ditandatangani hari ini, ia tidak akan secara automatik berkuatkuasa tetapi atas pertukaran pengesahan penerimaan antara pihak-pihak terbabit," katanya.

McCleary pula berkata beliau yakin melalui perjanjian itu, pihak berkuasa kedua-dua negara akan menjalin kerjasama lebih erat ke arah mencapai kejayaan lebih besar dalam usaha bersama memerangi jenayah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain