suria

Jurulatih Renang Antara Empat Suspek Ditahan Bersama 6 kg Ganja

PETALING JAYA: Seorang jurulatih renang antara empat lelaki yang ditahan bersama sejumlah 6.074 kilogram ganja dianggar bernilai RM20,000 dalam empat serbuan di sekitar Kota Damansara pada 18 dan 19 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata serbuan pertama pada kira-kira 6.30 petang Ahad lepas di sebuah pangsapuri di Kota Damansara, polis merampas 1,500 gram ganja bernilai RM 4,200 dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun.

"Pada kira-kira 10.30 malam pula, kami menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di sebuah pangsapuri lain dan merampas 1,800 gram ganja bernilai RM5,040," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu. Arjunaidi berkata 15 minit kemudian, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun bersama 100 biji pil Eramin 5 dan 30 gram syabu di dalam sebuah rumah di kawasan yang sama.

Tangkapan terakhir melibatkan seorang jurulatih renang berusia 43 tahun yang ditahan bersama enam ketul ganja seberat 2.774 kilogram di sebuah rumah di kawasan itu pada kira-kira 1.30 pagi Isnin.

"Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kita percaya mereka (suspek) bukan sindiket pengedar dadah di sekitar Damansara dan kawasan sekitar.

Mereka juga tidak ada kaitan antara satu sama lain," katanya.

Semua lelaki itu ditahan reman mulai hari tangkapan masing-masing sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain