suria

Barang Tiruan Dan Cetak Rompak RM16.5 Juta Dirampas Januari - Jun

JOHOR BAHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merampas lebih 900,000 barang tiruan dan cetak rompak bernilai RM16.5 juta menerusi tindakan penguatkuasaan di seluruh negara antara tempoh Januari dan Jun lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata semua rampasan barang menerusi 742 kes itu membabitkan 272 tangkapan.

"Johor, Lembah Klang dan Pulau Pinang dikenal pasti sebagai lubuk atau "hot spot" barangan tiruan dan cetak rompak berdasarkan rampasan yang tinggi di negeri berkenaan berbanding negeri lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen membanteras cetak rompak peringkat Johor di sini, Rabu.

Beliau berkata kerajaan memandang serius lambakan barangan tiruan serta cetak rompak dalam negara yang mengakibatkan kerugian kepada pemilik hak cipta, dan menurutnya orang ramai perlu disedarkan supaya tidak berterusan membeli barang tiruan.

"Kerajaan mahu masyarakat menghormati setiap hak cipta kerana kerajaan tidak mahu daya kreativiti dan inovasi pemilik hak cipta itu terhapus disebabkan lambakan barangan tiruan dan cetak rompak di pasaran," tambahnya.

Sementara itu Tan berkata penipuan peraduan gores dan menang kini didapati kembali berleluasa di Johor, dan menurutnya sehingga kini 41 aduan berhubung kegiatan itu diterima oleh pihak penguatkuasa kementerian dalam tempoh antara Januari dan Jun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain