suria

Umno Arau, Bukit Bendera Diarah Bermesyuarat Sebelum 31 Julai

KUALA LUMPUR: Umno bahagian Arau, Perlis dan Bukit Bendera, Pulau Pinang telah diarahkan mengadakan mesyuarat masing-masing sebelum penghujung bulan ini, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya beliau difahamkan bahawa Umno Bahagian Arau akan mengadakan mesyuaratnya pada Sabtu ini manakala Bukit Bendera pada Sabtu depan.

"Kedua-dua bahagian itu telah diberi masa sehingga 31 Julai ini untuk melaksanakan mesyuarat mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Sehingga kini, katanya 189 daripada 191 bahagian telah pun menyelesaikan mesyuarat masing-masing dengan lancar.

Menurutnya antara usul yang paling banyak dibentang dan dibincangkan dalam mesyuarat Umno bahagian di seluruh negara ialah Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

"Sudah pastilah antara perkara yang berkaitan dengan RMK-10 dan MBE yang dibincangkan ialah mengenai kepentingan orang Melayu," katanya.

Tengku Adnan berkata anggota-anggota parti turut membincangkan langkah menyelesaikan masalah dalaman bahagian masing-masing serta isu memastikan anggota tetap mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain