suria

Susur Galur Kehidupan Dr M Bakal Jadi Panduan Generasi Muda Hayati Pemikiran Beliau

PUTRAJAYA: Susur galur dan memori kehidupan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya dibukukan boleh menjadi rujukan berguna untuk generasi muda sekarang menyelami corak pemikiran beliau, khususnya dari aspek kepimpinan dan pentadbiran yang diamalkan.

Pensyarah Sains Politik Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI), Dr Ong Kian Ming berkata, sisi peribadi negarawan ulung itu masih menjadi satu rahsia meskipun nama dan kewibawaannya gah di merata dunia.

Pemikiran Bapa Pemodenan Malaysia itu, katanya, adalah satu gedung pemikiran dalam kelas tersendiri yang perlu dihayati, diselami dan dipelajari oleh generasi yang membesar bersama 22 tahun era kepimpinan beliau.

"Banyak tindakan beliau yang masih gagal difahami, termasuk kengganannya mendapatkan bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) semasa krisis kewangan negara 1997 atau rasional di sebalik kawalan kewangan yang diperkenalkannya," katanya di dalam seminar Mahathir dan Barat di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Selasa.

Orang ramai juga, jelas beliau, sentiasa ternanti-nanti akan pandangan Dr Mahathir berhubung kemewahan ekonomi generasi masa kini, khususnya bagaimana kekayaan baru itu dimanfaatkan oleh kaum Melayu.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Berita Publishing, Datuk A Kadir Jasin berkata, Dr Mahathir adalah seorang pemikir, penuntut, penulis dan pencetus minda yang sentiasa berusaha mengubah persepsi masyarakat supaya mengamalkan budaya berfikir di luar kebiasaan.

"Ini dapat dibuktikan apabila beliau berjaya membebaskan negara daripada krisis kewangan 1997 dengan menggunakan strategi sendiri walaupun natijahnya, beliau terpaksa 'melupakan' hubungan baik dengn timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Kadir yang juga moderator seminar berkenaan berkata, siri revolusi ekonomi diperkenalkan seperti dinar emas dan Wawasan 2020 harus dihuraikan melalui kajian terperinci agar generasi seterusnya beroleh manfaat di sebaliknya.

"Beliau sering menekankan bahawa Wawasan 2020 ini adalah agenda pembangunan negara dan ia perlu dicapai serta direalisasikan menggunakan acuan sendiri tanpa dipengaruhi oleh kaedah lain," katanya.

Dalam pembentangannya di seminar itu, Pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Dr Ahmad Murad Merican membawa khalayak mengimbau hubungan Malaysia dan negara barat di zaman pentadbiran Dr Mahathir khususnya yang sering kali menyaksikan beliau melemparkan kenyataan sinis dan bernada keras terutamanya kepada kuasa dunia, Amerika Syarikat.

Mengulas fakta berkenaan, Dr Murad berkata pendekatan Perdana Menteri Keempat itu dianggap unik kerana beliau mempelopori barisan pemimpin Asia yang berani menegur kuasa besar dunia, sekaligus menyatakan pendapatnya.

"Pada masa itu boleh dikatakan tidak ada pemimpin dari negara-negara di Benua Asia yang berani menyatakan pendapat mereka tetapi Dr Mahathir membuktikan sebaliknya," katanya.

Polisi Dr Mahathir itu, jelasnya, pernah dianggap oleh pakar sejarah, Kho Boo Teik sebagai cenderung mencontohi negara Timur dalam membataskan peranan kapitalis Barat, khususnya dengan tercipta Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1981.

"Dasar yang berorientasikan Jepun sebagai model kejayaan terulung Asia itu diikuti dengan dasar 'Buy British Last' sebagai usaha mengekang kemaraan dunia Barat dalam menjajah ekonomi Asia," katanya.

Bagaimanapun, Dr Murad berkata, pandangan Dr Mahathir itu bukan satu petanda kebencian beliau terhadap dunia Barat melainkan satu kritikan terhadap dasar mereka yang cenderung menindas dan mengambil kesempatan dari negara dunia ketiga serta negara membangun.

"Beliau juga bukan anti Yahudi kerana ada di kalangan orang Yahudi yang mengecam pentadbiran Zionis Israel di Palestin yang menjadi rakannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain