suria

Produk Serbuk Pencuci Tiruan Jenama Tempatan Seberat 2,000KG Dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,000kg serbuk pencuci tiruan berjenama "Daia" dengan nilai kira-kira RM10,000 dirampas dari sebuah stor di Taman Industri Bolton, Batu Caves di sini, Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Ahmad Md Isa berkata serbuk pencuci jenama "Daia" tiruan itu terbongkar hasil maklumat dari syarikat pengeluar serbuk pencuci yang sebenar.

"Pemilik stor berumur dalam lingkungan 30-an turut disiasat berhubung kegiatan menjual barangan tiruan yang berjenama Daia itu dan kesemua barangan itu disita mengikut Akta Perihal Dagangan 1972," katanya kepada pemberita di stor itu, Selasa.

Beliau berkata bahagian penguatkuasa kementerian berkenaan mengadakan serbuan kira-kira pukul 3 petang dan mendapati serbuk pencuci itu untuk pasaran tempatan. Ahmad berkata pemeriksaan yang dijalankan mendapati perbezaan ketara antara serbuk pencuci yang asli dan tiruan, iaitu daripada segi bau dan kandungannya.

Selain itu, katanya, serbuk pencuci yang asli dibungkus dengan berat 2.5kg tetapi bahan tiruan itu dibungkus dengan berat 3kg.

Mengikut akta itu, mereka yang didapati bersalah boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain