suria

Penyusunan Semula Jabatan Perikanan, LKIM Dalam Proses Akhir

KUALA SELANGOR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini dalam proses akhir menyusun semula peranan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi menyelaras serta mengelak pertindihan tugas kedua-dua jabatan.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata langkah itu bertujuan memastikan kedua-dua jabatan beroperasi dengan lebih baik dan berkesan, sekaligus mampu meningkatkan hasil serta pendapatan nelayan.

"Kadang-kadang saya lihat wujudnya pertindihan kuasa di kalangan kedua-dua jabatan berkenaan dan perkara ini wajar dikaji semula.

"Ini sebab kami mendengar rungutan daripada nelayan dan petani yang mengatakan arahan kementerian tidak sampai ke peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sepetang Santai Bersama Menteri di tapak Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan di Kampung Sungai Yu di sini, Selasa.

Beliau berkata pada dasarnya, Jabatan Perikanan diminta menumpu kepada usaha menambah bekalan ikan dan bot nelayan, manakala LKIM pula membantu nelayan memasarkan hasil tangkapan serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi mereka.

Katanya, LKIM harus memainkan peranan melalui persatuan nelayan bagi memastikan anggota persatuan melibatkan diri dalam industri asas tani berasaskan perikanan.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata beliau sedang memikirkan cara untuk memperluas kegiatan ekonomi sampingan nelayan di jeti pendaratan ikan.

"Jeti tidak harus dilihat hanya sekadar tempat pendaratan ikan. Saya mahu melihat golongan nelayan maju setapak dengan mengusahakan program berasaskan konsep Agro-Pelancongan Nelayan di jeti-jeti ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain