suria

Pemerdagangan Orang, Sumber Keuntungan Ketiga Terbesar Jenayah Terancang Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pemerdagangan orang adalah sumber keuntungan ketiga bagi jenayah terancang antarabangsa selepas pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api, menurut seorang pakar pencegahan pengubahan wang haram dari Australia.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Transaksi Laporan dan Analisis Australia (AUSTRAC), Neil Jensen berkata menurut Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO), anggaran keuntungan daripada pemerdagangan orang adalah antara US$10 bilion hingga US$31.6 bilion setahun atau US$13,000 setiap mangsa.

"Hampir setiap negara terlibat sebagai negara sumber, transit atau destinasi.

"Bagaimanapun, disebalik banyak penyelidikan, hanya beberapa kajian dilakukan untuk menentukan jumlah mangsa pemerdagangan orang atau keuntungan atau untuk menentukan wang itu disalurkan ke mana.

"Ini berikutan perbezaan undang-undang antara bidang kuasa, sesetengah mangsa mengelak identiti dikenal pasti dan kurang pengetahuan mengenai pemerdagangan orang," katanya pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2010, di sini, Selasa.

Jensen berkata antara kaedah yang digunakan anggota sindiket pemerdagangan orang ialah pujukan, memperdaya, menipu, menculik/menyeludup, salah guna kuasa dan faktor ekonomi.

Beliau berkata aktiviti berkenaan sering dikaitkan denagn penipuan, ugutan, kegiatan haram, pengubahan wang haram, rasuah, dadah, pemalsuan dan judi.

Beliau berkata, dalang jenayah itu terdiri daripada rangkaian tempatan kecil-kecilan sehingga ke sindiket jenayah terancang merentas sempadan.

Daripada segi keuntungan, katanya anggota sindiket terbabit mempunyai sumber pendapatan tetap dan stabil dengan risiko kecil. - BERNAMA

Artikel Lain