suria

Pelajar Maut Kemalangan Di Lebuhraya Damansara Puchong

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Shah Alam maut manakala tiga rakannya cedera parah dalam satu kemalangan di terowong Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) menghala ke Damansara, dekat sini, Selasa.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Norfazwan Mohamad, 19, dari Parit Melintang, Perak.

Tiga rakannya yang cedera ialah Ameerul Arif Abdul Razak, 19, dari Batu Pahat, Johor, Mohd Khairul Anuar Jalani, 19, dari Hutan Melintang, Perak dan Mohamad Farid Atan, 19, juga dari Hutan Melintang, Perak.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor Supt Che Husin Omar berkata mayat mangsa dan kesemua yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi tadi itu, motosikal yang ditunggang Mohd Khairul bersama seorang lagi lelaki tergelincir dan hilang kawalan sebelum terjatuh.

"Ketika itu sebuah lagi motosikal yang dipandu mangsa (Norfazwan Mohamad) cuba mengelak motosikal di hadapannya namun terbabas ke bahu jalan dan merempuh pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Che Hussin berkata ekoran rempuhan itu, mangsa cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga rakannya cedera parah. - BERNAMA

Artikel Lain