suria

Jenayah Penggubahan Wang Di Malaysia Masih Terkawal

KUALA LUMPUR: Jenayah penggubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan berupaya dikekang oleh pihak berkuasa menerusi tindakan bersepadu agensi terlibat.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mustafar Ali berkata bagaimanapun usaha mengekang jenayah itu terus diperhebatkan memandangkan transaksi perniagaan di negara ini semakin meningkat.

"Kalau nak katakan jenayah ini serius di Malaysia ia sebenarnya tidak serius, malah ia dalam keadaan terkawal. Malaysia dapat mengekangnya sebaik mungkin dengan menggunakan tindakan yang cukup berkesan," katanya kepada Bernama, di sini, Selasa.

Usaha itu katanya, dipermudahkan lagi dengan peningkatan kesedaran orang ramai terhadap jenayah tersebut selepas kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dalam pada itu, Mustafar yang ditemui di luar Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiyaan Keganasan Antarabangsa 2010, mengakui masih terdapat ruang untuk penjenayah melakukan kegiatan berkenaan.

Akan tetapi katanya, pihak berkuasa juga mempunyai pelbagai kaedah untuk mengesan kegiatan tersebut.

"Jangan anggap sorok duit, 'launder' duit, agensi penguatkuasa tidak akan tahu...sekarang ada pelbagai sistem untuk mengesan transaksi dan wang yang dikeluarkan," katanya.

Mustafar berkata jenayah itu juga melibatkan rangkaian antarabangsa yang memerlukan pihak berkuasa negara ini bekerjasama dengan pihak antarabangsa.

Semalam, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Zamani Abdul Ghani memberitahu persidangan itu bahawa sejumlah 94 kes penggubahan wang haram kini dalam pelbagai peringkat pendakwaan, dengan lebih 3,000 dakwaan melibatkan keuntungan berjumlah RM1.2 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain