suria

Empat Universiti Kekal Status Penyelidikan Untuk Tiga Tahun Lagi

PUTRAJAYA: Status universiti penyelidikan bagi empat universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia dikekalkan untuk tempoh tiga tahun lagi bermula tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu berdasarkan hasil audit ke atas keempat-empat universiti tersebut dalam tempoh 2007 hingga 2009.

"Secara keseluruhannya keempat-empat universiti penyelidikan itu telah menunjukkan impak yang besar ke atas pencapaian bidang penyelidikan negara dan penghasilan modal insan.

"Pencapaian mereka turut merentasi empat aspek yang diukur iaitu modal insan, penerbitan, paten dan hak harta intelek (IPR) serta penjanaan pendapatan," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Beliau sebelum itu hadir perhimpunan bulanan kementeriannya dan majlis pelancaran Buku Kajian Kes Bersepadu Program Perakaunan dan Kajian Hala Tuju Bidang Pengajian.

Dalam aspek modal insan katanya, bilangan pelajar pascasiswazah di universiti terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 34 peratus iaitu daripada 29,794 pada 2007 kepada 39,819 pada tahun lepas.

"Dalam aspek penerbitan pula, bilangan penerbitan dalam jurnal indeks sitasi turut meningkat dari 2,303 pada 2007 kepada 4,346 pada 2009 iaitu peningkatan sebanyak 2,043 atau 89 peratus," katanya.

Aspek IPR pula mencatatkan peningkatan sembilan peratus iaitu daripada 217 pada 2007 kepada 237 pada tahun lepas, manakala penjanaan pendapatan meningkat daripada RM436 juta kepada RM746.7 juta bagi tempoh sama.

Mengulas perkara berlainan, Mohamed Khaled berkata gaji 1,894 pensyarah perubatan di 11 fakulti perubatan institusi pengajian tinggi awam telah diselaraskan pada 1 Julai lepas.

Mereka juga diberikan insentif bermula 1 Jun lepas mengikut gred masing-masing dan juga sama ada mempunyai kelulusan kepakaran klinikal atau tidak, katanya.

"Berbeza dengan doktor di hospital, pensyarah perubatan terpaksa juga melakukan kajian dan aktiviti pengajaran, jadi bebanan mereka tinggi.

"Kita khuatir tidak ramai tertarik untuk berkhidmat sebagai pensyarah perubatan sekiranya kita tidak lihat (buat penyelarasan) pada skim perkhidmatan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain