suria

Dua Lelaki Ditahan Berhubung Kes Penemuan Mayat Wanita Warga Myanmar

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan berhubung kes penemuan mayat wanita warga Myanmar yang dipercayai dibunuh awal bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kedua-dua suspek, berumur 23 dan 26 tahun ditahan di sebuah kawasan perniagaan di Damansara dengan suspek pertama ditahan pada pukul 11.50 malam, Isnin.

Suspek kedua pula ditahan tiga jam kemudian.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek ini turut terlibat dalam lebih 10 kes samun di Selayang, Petaling Jaya dan Damansara berdasarkan beberapa laporan polis yang diterima.

"Kami percaya mereka juga terlibat dalam satu kes penemuan mayat wanita Myanmar yang dipercayai dibunuh, di Ulu Yam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Abdul Rahim berkata kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan bogel terapung di Sungai Tembalik berhampiran kawasan tangki air, Jalan Sungai Tua, Ulu Yam Baru pada kira-kira pukul 4 petang, 6 Jun lepas.

Mayat wanita itu, yang merupakan warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan 20-an, dijumpai dengan tiada kesan kecederaan pada badan dan kepalanya, tetapi darah dan air keluar melalui hidung. - BERNAMA

Artikel Lain