suria

Bekalan Air Lembah Klang Cukup Sehingga 2019: Selangor Tolak Kerjasama

PETALING JAYA: Selangor pada masa ini menolak tawaran kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang Selangor (PPAMPS) kerana bekalan air yang sedia ada sekarang ini mampu menampung keperluan di Lembah Klang sehingga tahun 2019.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, berdasarkan kajian yang dijalakan, kerajaan negeri berpendapat projek berkenaan tidak perlu disegerakan lebih-lebih lagi anggaran kosnya telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM8 bilion.

"Selangor berpendapat Kerajaan Persekutuan terlalu terburu-buru untuk melaksanakan PPAMPS dengan hanya berdasarkan unjuran bahawa akan berlaku krisis bekalan air jika projek ini tidak dimulakan sekarang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Selain itu Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan bahawa pengguna air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kemungkinan berhadapan catuan air menjelang 2014.

"Nasihat yang diperoleh oleh Kerajaan Selangor dari pakar industri air dan juga kajian berdasarkan pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dahulu dan sekarang dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang sedia ada sekarang ini mampu menampung keperluan di Lembah Klang sehingga 2019.

Sehubungan itu Abdul Khalid berkata, masa yang sesuai untuk melaksanakan projek penyaluran air berkenaan ialah pada tahun 2015 atau 2016.

"Kerajaan Negeri sedar projek ini ada kebaikannya, namun ia tidak perlu disegerakan tanpa mengambil kira pemahaman menyeluruh industri air termasuk proses penstrukturan semula industri air Selangor.

"Kami percaya masa yang sesuai untuk projek ini dilaksanakan adalah pada 2015 atau 2016 dan jika ia dipercepatkan tanpa kajian, kos itu akan meningkatkan beban hutang Kerajaan Malaysia," katanya.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menghadapi krisis air terburuk menjelang 2014 jika Abdul Khalid gagal mengurus serta menyelesaikan masalah perbekalan air dengan berkesan dan segera.

Kerajaan Persekutuan sudah berusaha membantu bagi mengelakkan krisis menjadi bencana, termasuk mengadakan banyak rundingan dengan kerajaan negeri pembangkang itu, tetapi banyak halangan dan kekangan berikutan sikap tidak proaktif pihak terbabit menyelesaikan masalah.

Selain itu Abdul Khalid turut menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada kaedah alternatif bagi menangani isu air berkenaan dan tidak terlalu mudah melaksanakan projek mahal menggunakan wang rakyat.

Antaranya dengan mengurangkan pembaziran air dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang boleh dilakukan secara bersama kerajaan Persekutuan dan Selangor.

"Kedua, sumber alternatif air yang boleh diteroka seperti air sungai, tasik dan memperkenalkan teknologi air bawah tanah.

"Ketiga, dengan mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) dari 35 peratus kepada kurang 20 peratus, seperti yang berjaya dicapai oleh syarikat air Pulau Pinang," katanya.

Tambah beliau, sistem penghantaran air yang cekap juga merupakan penyelesaian terbaik bagi menampung permintaan pengguna.