suria

Beberapa Prosedur Jabatan, Agensi Kerajaan Perlu Dirombak

KUALA LUMPUR: Jabatan dan agensi kerajaan dicadang merombak beberapa prosedur yang tidak membantu Pelan Transformasi Kerajaan (PTK) seperti pembahagian dan pengagihan tugas yang dilihat sukar diperbaiki, Dewan Negara diberitahu di sini Selasa.

Senator Datuk Akbar Ali berkata perkara ini perlu dipandang serius kerana ia boleh mengganggu kelancaran Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bergantung kepada integriti, pentadbiran baik dan sistem penyampaian kerajaan cekap serta efisien.

Sebagai contoh, katanya Jabatan Akauntan Negara perlu mengagihkan bidang kuasa mengeluar dan menandatangani cek peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya cek untuk orang sakit dan miskin yang memerlukan dapat disegerakan.

"Pernah berlaku seorang nenek yang menderita sakit kanser meminta bantuan tetapi selepas enam bulan langsung tidak dijawab, saya berjumpanya dan menghulurkan sedikit wang, dia amat pilu menerimanya lantas dipegang dan disimpan elok-elok wang itu. Esoknya dia meninggal dunia.

"Dengan keadaan ini macam mana rakyat hendak sayang kepada kita iaitu kerajaan, sedangkan perkara ini yang bersungguh-sungguh dimahukan oleh Perdana Menteri tetapi tidak pula dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan," katanya ketika membahaskan RMK-10 di Dewan Negara di sini Selasa.

Sementara itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengoptimumkan kepakaran tenaga mahir tempatan tanpa perlu bergantung kepada tenaga luar negara.

"Ikut amalan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila dia sakit jantung tidak bergegas ke luar negara untuk merawat penyakitnya tetapi menggunakan kepakaran doktor tempatan.

"Untuk menjayakan RMK-10 juga kerajaan amat perlu memastikan tidak lagi berlakunya penyelewengan seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Konglomerat Sime Darby dan beberapa projek besar kerajaan," kata Akbar. - BERNAMA

Artikel Lain