suria

Terengganu Cadang Wujud Sebuah Lagi Litar Permotoran

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu sedang menimbang untuk mewujudkan sebuah lagi litar dalam usaha mencungkil bakat baru dalam sukan permotoran di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri mendapati hampir 90 peratus remaja di negeri itu meminati sukan tersebut.

"Kerajaan negeri memandang berat perkara itu dan sedang mencari kawasan yang sesuai untuk pembinaan litar tersebut," katanya pada sidang akhbar mengenai Kembara Belia Terengganu (KBT) 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata, Terengganu telah mempunyai sebuah litar yang terletak berhampiran Stadium Sultan Mizan di Gong Badak yang dilihat mampu mengatasi gejala Mat Rempit di negeri itu.

Sementara itu, seramai 100 belia bermotosikal bakal menyertai KBT selama lima hari bermula Sabtu ini.

Rozi berkata, kembara itu bertujuan mendekatkan golongan belia dengan institusi pengajian tinggi, khususnya Universiti Teknologi Mara (UiTM), selain menerapkan nilai murni dalam diri mereka.

Katanya, kembara anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan syarikat UMW Pennzoil itu akan menjelajah Daerah Kuala Terengganu, Dungun, Marang, Besut, Setiu, Kuala Berang serta Kemaman dan menelan kos lebih RM100,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain