suria

Seorang Lagi Ditahan Berhubung Sindiket Jual Bayi

KUCHING: Polis menahan seorang lagi suspek berhubung sindiket menjual bayi dan kanak-kanak, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang ditahan reman setakat ini ialah 17 orang.

Polis menahan lelaki berusia 46 tahun itu di rumah seorang ahli perniagaan berusia 65 tahun bergelar Datuk, yang dipercayai turut terlibat dengan sindiket menjual bayi dan kanak-kanak di Richmond Hill, Stampin di sini, pada 6 petang semalam.

Lelaki itu dipercayai sepupu Datin yang membantu menjaga kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Batu Kawa di sini. Bagaimanapun, ketika tangkapan dibuat, tiada seorangpun kanak-kanak ditemui.

Majistret Nelson W. Angang membenarkan dia ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Setakat ini, polis menemui tiga bayi dan lima kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 12 tahun dalam tempoh seminggu, dan kesemua mereka kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan.

Antara suspek yang ditahan ialah seorang Datuk berusia 65 tahun dan isterinya berusia 43 tahun, saudara mara serta sahabat mereka.

Polis juga menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai pembekal kepada sindiket itu dan dia ditahan reman Jumaat lepas.

Kegiatan penyeludupan bayi dan kanak-kanak itu terbongkar selepas polis menemui seorang bayi perempuan berusia 23 hari dalam satu operasi Isnin lepas.

Dalam operasi itu, seorang wanita warga Indonesia cuba menjual bayi tersebut dengan harga RM10,000 kepada seorang anggota polis yang menyamar, di Bandar Baru MJC, Batu Kawa di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain