suria

Polis Tahan Lelaki Disyaki Pengedah Dadah, Rampas 24.46 Kg Ganja

JOHOR BARU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah dan merampas 24.46 kilogram ganja selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, dekat sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lelaki berumur 30 tahun yang bekerja sendiri itu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha TZM 150 bernilai RM5,000 milik lelaki itu di bawah Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988, dan menurutnya ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah.

"Suspek terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah sejak setahun yang lalu dan bekalan ganja diperolehinya dari selatan Thailand," katanya di sini hari ini.

Katanya, ganja itu dianggarkan bernilai RM75,000, dan lelaki itu kini ditahan reman sehingga esok, semasa kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B, 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan polis menahan seorang buruh berumur 29 tahun yang disyaki terbabit dalam 23 jenayah samun sejak lima bulan lepas sekitar Kluang, Johor, selepas menerima laporan seorang wanita yang mendakwa disamun dan dicabul oleh lelaki itu, Isnin lepas.

Mokhtar berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8 pagi, dan polis yang menerima aduan wanita itu hampir sejam kemudian, terus bertindak pantas menahan lelaki berkenaan pada pukul 6.30 petang.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai alat ganti motosikal, komputer riba, kad pengenalan, empat beg hitam dan telefon bimbit daripada suspek yang kini disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan masing-masing bagi kesalahan samun dan cabul. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain