suria

Permit Ditarik Jika Jual RON95 Kepada Kenderaan Asing - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Pengusaha stesen minyak di seluruh negara akan berdepan tindakan permit ditarik balik sekiranya didapati menjual petrol RON95 kepada kenderaan asing apabila larangan penjualan itu dikuatkuasakan 1 Ogos ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian akan memantau pematuhan larangan itu dengan kerjasama agensi lain seperti polis, Rela dan Unit Pencegah Penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

"Pemantauan larangan ini akan lebih mudah daripada peraturan menyekat pembelian melebihi 20 liter sebelum ini kerana kita hanya perlu melihat petrol jenis apa yang mereka isi," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan persatuan pengeluar dan peniaga di seluruh negara, di sini hari ini

Beliau yakin peraturan baru itu tidak akan menyebabkan kemarahan pengguna asing kerana mereka masih boleh mengisi petrol RON97 di negara ini sebanyak mana yang mereka mahu.

Malah, katanya, harga RON97 di negara ini lebih murah daripada harga RON95 di Thailand.

"Jadi saya rasa mereka tak mungkin akan rasa marah kepada kita walaupun kita sekat mereka beli RON95 tapi dia beli RON97 pun lebih menguntungkan daripada di negara mereka," katanya.

Ismail Sabri berkata kerajaan menetapkan 1 Ogos untuk menguatkuasakan larangan itu supaya penjelasan dapat diberikan kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak dan untuk menyiapkan poster berkaitan untuk diletakkan di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Menteri itu sebelum ini mengumumkan berkuatkuasa 1 Ogos depan, semua kenderaan asing tidak dibenarkan membeli petrol RON95 dan hanya boleh membeli RON97.

Beliau berkata ia selaras dengan dasar kerajaan bagi memastikan bahan api subsidi adalah khusus untuk rakyat Malaysia sahaja.

-- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain