suria

Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ditangguh Kepada 2 Ogos

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya bersambung hari ini dengan pemeriksaan balas terhadap seorang doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL), ditangguhkan kepada 2 Ogos selepas ketua pasukan pembelaan Anwar, Karpal Singh, memperolehi cuti sakit selama dua minggu.

Mahkamah Tinggi diberitahu oleh pasukan pembelaan hari ini bahawa Karpal Singh dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami jangkitan paru-paru yang akut pada 9 Julai, dan dibenarkan pulang Khamis lepas.

Beliau diberikan cuti sakit sehingga 23 Julai dan sedang berehat di rumahnya di Petaling Jaya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan penangguhan itu selepas seorang lagi peguam Anwar, Datuk Param Cumaraswamy memberi jaminan kepada mahkamah yang kes itu akan tetap diteruskan sekiranya Karpal Singh masih tidak dapat hadir pada tarikh perbicaraan disambung nanti.

"Kes ini akan diteruskan tanpa mengira sekiranya Karpal dapat hadir atau tidak kemudian nanti. Salah seorang daripada peguam terpaksa meneruskannya nanti," katanya. Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pasukan pembelaan hari ini dijadualkan untuk mengemukakan pemeriksaan balas terhadap pakar bedah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim, yang merupakan antara doktor yang memeriksa Mohd Saiful. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain