suria

Peniaga Pasar Malam Dihukum Mati Kerana Bunuh Pembantu Rumah

SHAH ALAM: Seorang peniaga pasar malam dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani pada Oktober tahun lepas.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ke atas tertuduh, A.Murugan, 36.

Dalam penghakimannya Mohd Yazid berkata, pembelaan tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai.

Mengenai kredibiliti tertuduh semasa memberi keterangan, beliau mendapati ia gagal menangkis keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan dan keterangan tertuduh didapati bertentangan dengan keterangan kesemua saksi pendakwaan.

Mohd Yazid berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa keterangan tertuduh adalah tidak secara munasabahnya benar atau konsisten dengan ketidakbersalahannya dan mahkamah juga berpuas hati bahawa kecederaan dialami mangsa adalah disebabkan oleh perbuatan tertuduh.

"Dalam kes ini mahkamah turut menerima keterangan ikut keadaan, keterangan langsung seperti keterangan saksi polis yang menemui mangsa dalam tandas dan pengakuan isteri tertuduh bahawa tertuduh yang mengurung mangsa serta akuan nazak mangsa (bahawa tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atasnya).

"Mahkamah berpuas hati ada keterangan sangat besar yang menjuruskan kepada kecederaan mangsa akibat perbuatan tertuduh yang cukup untuk menyebabkan kematiannya. Justeru mahkamah berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan dalam kes ini hanya ada satu hukuman sahaja maka tertuduh dijatuhi hukuman gantung di leher sampai mati," katanya.

Murugan yang berdiri di kandang tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi sejurus mahkamah menjatuhkan hukuman.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 18 Januari lepas, mahkamah telah mendengar keterangan 50 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan.

Pihak pendakwaan diwakili tiga Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar dan Siti Fatimah Yahya manakala tertuduh diwakili peguam V.Rajehgopal dan peguam T.Vijayandran bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Kedutaan Indonesia.

Murugan didakwa membunuh Muntik, 36, di rumahnya di no: 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 Oktober dan 20 Oktober tahun lepas.

Tertuduh yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 3 November tahun lepas, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Kes itu mendapat perhatian umum apabila Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lepas, setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Sementara itu, penasihat menteri di Kedutaan Indonesia Amiruddin Pandjaitan yang turut hadir di mahkamah, ketika ditemui pemberita berkata, beliau berterima kasih atas usaha yang dilakukan oleh pihak mahkamah dalam mencari keadilan untuk mangsa.

"Bagi kedutaan, yang pastinya keadilan sudah ditegakkan dan kesalahan telah dibuktikan. Yang melakukan kesalahan telah mendapat hukuman yang setimpal mengikut sistem kehakiman di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain