PETALING JAYA: Paya Indah Wetlands menghadapi risiko bahaya sekiranya aktiviti perlombongan pasir berhampiran Kampung Olak Lempit, Selangor tidak dihentikan segera.Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Landskap Malaysia mendedahkan, kesan akibat aktiviti perlombongan tidak terkawal itu termasuk 'pencerobohan' terhadap zon penampan Paya Indah Wetlands, kira-kira 20 meter dari kawasan yang digazetkan untuk taman eko-pelancongan negara itu. Ahli Lembaga Pentadbirnya, Datuk Yahya A. Jalil mendakwa, ekoran perubahan drastik yang berlaku terlalu hampir dengan zon penampan, banyak spesis unggas dan hidupan liar mula meninggalkan kawasan berkenaan gara-gara pencemaran udara, air dan bunyi.Paras air tasik juga dikatakan berkurangan sebanyak 1 meter berikutan pemendapan pasir dan kelodak berpunca daripada hakisan tanah disebabkan aktiviti mengorek pasir."Kami bercadang kembali ke sana dalam masa sehari dua ini bersama sekumpulan pakar bagi menilai sejauh mana kerosakan yang telah berlaku."Laporan itu akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan seterusnya," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.Yahya turut menggesa agar kerajaan negeri Selangor dan kerajaan pusat melupakan perbezaan politik demi melaksanakan tanggung jawab terhadap pemuliharaan alam sekitar seterusnya menyelesaikan isu berkenaan dengan efektif."Ini bukan masa nak bertelagah, ini bukan politik, ini realiti. Haiwan, tumbuhan tak perlukan manusia. Manusia yang perlu kambing, lembu untuk makan dan pokok untuk bernafas. Kenapa perlu kita musnahkan alam yang membolehkan kita terus hidup?" ujarnya lagi.Sementara itu, seorang lagi Ahli Lembaga Pentadbir Landskap Malaysia, Datuk Ismail Ngah berkata, pihaknya akan menjemput NGO alam sekitar lain dan mengumpulkan lebih ramai pakar apabila membuat lawatan penilaian ke paya bencah itu tidak lama lagi.Menurut beliau, ancaman lain dihadapi Paya Indah Wetlands termasuk pembersihan hutan berhampiran bagi tujuan projek perumahan dan perlombongan pasir sehingga mengakibatkan penyusutan kadar air takungan yang boleh mendatangkan kesan jangka panjang terhadap komuniti hidupan liar unik dalam taman itu."Semua perlu bergabung tenaga dan memberi impak demi mengembalikan kestabilan ekosistem, memperbaiki eko-biologi habitat dan memulihkan kembali kerosakan akibat kerakusan projek tersebut. Kita perlu mewujudkan penampan lebih baik untuk melindunginya," tambahnya.Jumaat lalu, sekumpulan pakar pemuliharaan alam sekitar mula mengumpul data bagi mengenal pasti perubahan pada habitat hidupan liat dan ekosistem terkawal di Paya Indah Wetlands berikutan aktiviti perlombongan pasir berhampiran kawasan itu.Pengarahnya, Hasnan Yusop berkata, sekiranya kadar air tasik semakin merosot, ia boleh menjejaskan habitat dan kelangsungan hidup hidupan liar selain kemungkinan hakisan, tumpahan minyak atau bahan pencemar lain meresap ke kawasan paya tersebut.Paya Indah Wetlands merupakan habitat bagi 210 spesis unggas, 26 spesis malalia, 220 spesis tumbuhan akuatik, 20 spesis reptilia, 10 spesis amfibia dan 14 spesis ikan.Sepanjang musim penghijrahan antara September dan Mac, tasik dan kolam dipenuhi unggas darat seperti Greenshank, Redshank dan banyak lagi spesis burung kedidi yang mengikuti laluan udara Timur Asia.