suria

MAIWP Akan Bina Pusat Khas Tempatkan Pesakit AIDS

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menubuhkan sebuah pusat khas sebagai tempat perlindungan untuk penghidap AIDS di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pusat itu akan dibina di atas tanah seluas 1.5 hektar milik MAIWP sebaik sahaja menerima dana daripada kerajaan.

"Permohonan untuk dana pembinaan telah dibuat kepada kerajaan. Kita memerlukan kira-kira RM35 juta untuk pembinaan pusat tersebut yang dijangka mampu menempatkan antara 800 dan 1,200 pesakit.

"Perkara ini sedang diusahakan MAIWP dan kita berharap dana itu akan mempercepatkan pembinaan pusat tersebut," katanya kepada pemberita selepas penyerahan zakat perniagaan dan agihan sempena Bulan Zakat Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, pusat itu juga akan menyediakan perkhidmatan kesihatan bagi penghidap AIDS.

"Pusat ini juga akan dibuka kepada pesakit daripada kalangan bukan Islam sekiranya keadaan memerlukan," kata beliau.

Mengenai rungutan beberapa pihak yang keliru berkenaan kaedah pengagihan dan pihak yang menerima wang zakat, Jamil Khir berkata isu tersebut akan diselesaikan menerusi artikel bersiri yang dikeluarkan oleh MAIWP.

"Saya telah meminta MAIWP buat tulisan untuk perhalusi jenis agihan dan kepada siapa diagihkan. Saya akan lancarkannya nanti...tulisan itu berkaitan kaedah pembahagian termasuk asnaf-asnaf yang layak menerima zakat," katanya.

Terdahulu beliau menerima penyerahan wang zakat berjumlah RM1.75 juta daripada sembilan buah syarikat yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan, serta mengagihkan sejumlah RM53,132.185 juta wang Baitulmal kepada lima asnaf yang layak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain