suria

Kelantan Cuma Sedia Kerjasama Dengan Kerajaan Pusat Bangun Negeri

TUMPAT: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS hanya bersedia bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi pembangunan negeri termasuk merealisasikan cadangan pembinaan lebuh raya empat lorong yang menghubungkan Kuala Lumpur-Kota Baru.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob berkata, kerajaan negeri bersedia berunding mengenai cadangan itu pada bila-bila masa.

"Saya harap cadangan itu diterima oleh kerajaan pusat memandangkan Kelantan mengeluarkan ramai modal insan," katanya selepas merasmikan Koperasi Pembangunan Ladang Rakyat Kelantan, di sini pada Ahad.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kerajaan PAS Kelantan hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan pusat jika ianya membabitkan kepentingan rakyat, dan bukan parti.

Ahmad yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, kerjasama politik sukar dilakukan kerana dasar parti masing-masing yang berbeza.

"Kalau kerjasama untuk kebaikan rakyat antara kerajaan dengan kerajaan, kita sedia pada bila-bila masa. Kalau kerjasama parti biar dulu," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno menyatakan parti itu sedia bekerjasama dengan PAS demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain