suria

Judi Piala Dunia: Polis Lakukan 270 Serbuan Libatkan Taruhan RM417.7 Juta

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu polis berjaya menumpaskan aktiviti judi tidak berlesen membabitkan pertaruhan RM417.7 juta sepanjang berlangsungnya bola sepak Piala Dunia 2010.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata, sepanjang tempoh itu polis melakukan 270 serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan tersebut menerusi 'Ops Soga'.

"Daripada jumlah serbuan itu sebanyak 151 serbuan diklasifikasikan berjaya iaitu seramai 227 orang telah ditangkap kerana disyaki terlibat melakukan pelbagai kesalahan seperti menjadi penganjur dan mengutip wang pertaruhan haram atau bookie.

"Sejumlah RM99,266 wang tunai yang digunakan dalam pertaruhan juga telah berjaya dirampas sewaktu serbuan dijalankan," katanya menjawab soalan Senator Zainun A. Bakar di sini.

Zainun ingin tahu bilangan yang ditangkap dan didakwa kerana kesalahan perjudian haram ketika berlangsungnya bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan baru-baru ini, serta jumlah pertaruhan yang dirampas.

Lee berkata, setakat ini tiada pertuduhan dibuat ke atas mana-mana suspek dan semua kes masih dalam siasatan.

Katanya, pihak polis juga berpendapat 'Ops Soga' yang dilaksanakan selama sebulan bermula 11 Jun hingga 12 Julai lepas telah mencatatkan kejayaan kerana berjaya menembusi dan menumpaskan banyak operasi sindiket perjudian menerusi talian.

Kejayaan itu katanya, adalah hasil penubuhan satu pasukan khas bagi memantau secara khusus kegiatan pertaruhan tidak berlesen sepanjang tempoh kejohanan tersebut, selain bekerjasama dengan polis antarabangsa dan beberapa agensi kerajaan lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain