suria

Dua Maut Dalam Dua Kemalangan Di Rompin

KUANTAN: Dua maut dalam dua kemalangan berasingan di Rompin semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama, Norsolisatun Asma Ismail, 14, terbunuh apabila kereta yang dipandu ayahnya dilanggar sebuah kereta Kenari di Kilometer 125.5 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin.

"Pemandu kereta Kenari yang datang dari arah bertentangan gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan masuk ke laluan kereta Toyota itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang hadapan cedera parah dan mati di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang peneroka maut apabila van yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Jalan Shah Bandar, Bandar Tun Abdul Razak, dekat Rompin.

Mohamed Fauzi berkata Mohd Zain Jusoh, 61, dari Rompin mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta Wira hanya cedera ringan.

"Dalam kejadian pada pukul 3.05 petang itu, kereta Proton Wira yang dalam perjalanan dari Bandar Tun Abdul Razak menuju ke Muadzam Shah hilang kawalan lalu terbabas dan bertembung dengan van yang datang dari arah bertentangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain