suria

Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional Tidak Amalkan Penyumberan Luar - Liow

PUTRAJAYA: Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) yang dicadangkan pelaksanaannya tidak akan mengamalkan penyumberan luar kepada syarikat insurans, tetapi diuruskan secara langsung oleh kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata melalui SPKN, orang ramai akan berurusan dengan kerajaan dan bukan dengan syarikat insurans kerana skim yang dicadangkan itu akan ditadbir oleh Lembaga Pembiayaan Kesihatan Nasional, sebuah badan berkanun kerajaan.

"Ia tidak akan mengamalkan penyumberan luar," katanya.

Beliau berkata SPKN kini masih di peringkat pembinaan dan rundingan sedang diadakan dengan pelbagai pemegang kepentingan untuk mencari model terbaik dan untuk memastikan golongan miskin terus mendapat penjagaan melaluinya.

"Bagi yang tidak mampu atau miskin, kerajaan akan terus menjaga mereka. Kami tidak akan sekali-kali menyekat laluan mereka bagi mendapatkan penjagaan kesihatan. Dakwaan bahawa kira-kira 70 peratus penduduk negara ini akan rugi di bawah SPKN, adalah tidak benar.

"Kerajaan bukan sahaja akan terus memberi subsidi bagi penjagaan kesihatan yang mereka perlukan, malah meningkatkan kecapaian mereka terhadap penjagaan kesihatan di bawah skim itu," kata Liow.

Ketika menjelaskan tentang rasional di sebalik cadangan pelaksanaan SPKN, Liow berkata kerajaan mahu menggunakan semua sumber sedia ada kerana ketika ini, sistem penjagaan kesihatan di Malaysia adalah berdasarkan sistem dikotomi penjagaan kesihatan awam dan swasta.

"Kerajaan mempunyai sumber yang terhad, 50 peratus adalah daripada kerajaan dan 50 peratus lagi merupakan penjagaan kesihatan yang diberi oleh sektor swasta. Namun demikian, 50 peratus daripada penjagaan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan itu meliputi 80 peratus daripada jumlah penduduk, manakala selebihnya (penduduk) memperoleh penjagaan kesihatan daripada sektor swasta.

"Sekiranya kita boleh gemblengkan semua doktor yang ada, 100 peratus, semua orang boleh mendapat faedah daripada sistem yang lebih baik. Rakyat akan mendapat lebih banyak manfaat, tempoh menunggu boleh dipendekkan dan rawatan boleh didapati di tempat yang berdekatan dengan mereka," kata beliau.

Liow berkata dengan adanya SPKN, penduduk luar bandar akan mendapat lebih banyak faedah kerana melalui skim itu, doktor akan diagihkan secara sama rata, manakala gaji mereka dibayar oleh kerajaan.

"Biar sejauh mana sekalipun perkhidmatan hospital kerajaan ditambah baik, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan akan terus meningkat dan tempoh menunggu akan kembali panjang. Akhirnya, apa yang akan berlaku ialah kerajaan perlu menerima semua mereka.

"Dengan adanya sistem ini, kami ingin kecilkan Kementerian Kesihatan, yang akan hanya mengendalikan urusan pengawalseliaan, manakala penjagaan kesihatan disediakan oleh hospital dan klinik.

"Kami menjalankan tugas penguatkuasaan dan dengan berbuat demikian, kecekapan akan meningkat," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain