suria

Sektor Swasta Diseru Bergerak Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi

KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta diseru mengambil langkah untuk bergerak ke dalam ekonomi berpendapatan tinggi bagi memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan ekonomi negara ini ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pengerusi Eksekutif Westport Malaysia Tan Sri G. Gnanalingam berkata hanya majikan itu sendiri yang boleh memastikan mereka bergerak memasuki ekonomi berpendapatan tinggi.

Malah, gaji minimum di Malaysia perlu berada pada paras RM2,020 menjelang 2020, katanya selepas dianugerahi Anugerah Kongres Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Asia 2010 kerana sumbangannya kepada masyarakat di dalam pembangunan sumber manusia.

"Paras kemiskinan hari ini ditetapkan pada garisan pendapatan RM750 sebulan dan saya sangat mempercayai negara perlu mempunyai gaji minimum bagi kedua-dua pekerja tempatan dan asing," katanya.

Gnanalingam adalah antara beberapa ahli profesional HRD Asia yang mendapat pengiktirafan bagi usaha cemerlang masing-masing.

Gnanalingam menerima anugerah itu dari Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata penganugerahan itu adalah yang ketiga diberikan kepada Westports di mana yang pertama adalah Anugerah Majikan Terbaik pada 2004 dan diikuti Anugerah Pembangunan Sumber Manusia pada 2007.

Anugerah HRD Asia dianugerahi pada individu yang diketahui mengamalkan dasar pembangunan sumber manusia, dengan mengamalkan integriti tertinggi yang memberi kesan sehingga ke peringkat global. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain