suria

Pengusaha Kraftangan Tradisional Disaran Tingkat Kreativiti

SARIKEI: Pengusaha kraftangan tradisional di negeri ini perlu bersikap lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk baru atau menambah baik yang sedia ada, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.

Sejajar dengan itu, beliau menyarankan mereka supaya menghasilkan ciptaan baru dan menggunakan warna lebih menarik, tanpa mengubah ciri-ciri unik yang terdapat pada produk kraftangan tradisional yang dihasilkan.

"Perkenalkan produk anda melalui Internet dan jangan terlalu bergantung pada pasaran setempat," katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan Info Bestari anjuran Jabatan Penerangan Julau di Rh.Janting di Pakan, dekat sini malam Sabtu.

Salang berkata sebenarnya, rantai manik dan 'Pua Kumbu' yang dihasilkan kaum Iban merupakan barangan cenderahati yang menarik. "Bagi Pua Kumbu, jika penenunnya menggunakan pewarna kekal dan benang sutera, maka produk yang dihasilkan akan mempunyai kualiti yang amat tinggi.

"Apabila hasil kerja anda berkualiti tinggi, anda boleh letakkan harga yang lebih tinggi dan pengumpul barangan seperti ini tidak berkira apabila membeli barangan yang berkualiti," katanya.

Mengenai Info Bestari, beliau meminta penduduk luar bandar supaya menganggapnya sebagai saluran untuk mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan dalam bidang sosial, politik dan ekonomi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain