suria

Muhyiddin Alu-alukan Perantara Perbincangan Umno-PAS

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia untuk menjadi perantara atau orang tengah bagi membantu proses mewujudkan persefahaman di antara Umno dan PAS.

Timbalan Presiden Umno itu berkata ini kerana usaha untuk menyatupadukan orang Melayu dan Bumiputera Islam bukan hanya terletak pada satu badan sahaja.

"Apa pun, saya menghargai kalau ada pihak-pihak yang katanya bersedia sama ada menjadi orang tengah, menjadi fasilitator untuk mempermudahkan usaha-usaha ini.

"Jadi kalau mufti ke, bekas mufti ke, saya fikir mereka ini boleh berperanan, begitu juga banyak pihak-pihak yang lain (seperti) pemimpin Melayu, Bumiputera dan Islam... kalau mereka sanggup untuk tampil membantu proses mewujudkan persefahaman ini, saya fikir kita harus alu-alukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sepanggar, di sini pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria semalam bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Harussani berkata beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua belah pihak.

Ketika diminta mengulas komen Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan kesediaan berjumpa dengan Muhyiddin asalkan perbincangan tidak menjurus kepada rundingan perpaduan antara PAS dan Umno, Muhyiddin berkata: "Saya tak nak komen lebih, nanti macam kita beria-ria, saya dah komen awal, biarlah begitu, saya nak serah kepada pihak orang ramai untuk buat tafsiran, kalau saya cakap nanti disalah tafsir.

"Apa-apa pun pandangan saya, awal-awal lagi saya dah suarakan, pandangan Umno dan presiden Umno (Datuk Seri Najib Tun Razak) pun telah sebutkan, tak payah nak respons lagi, kalau tidak ia debat begitu saja, tak ada hasil apa-apa."

Muhyiddin berkata, beliau dan Umno memberi respons pada peringkat awal pun disebabkan "suara-suara" daripada kalangan orang bukan politik yang bimbang melihat keadaan sekarang ini yang menggesa perbincangan itu diadakan.

"Jadi saya sudah respons, saya kata memang satu perkara yang baik, soal dari pihak PAS bukan hak saya untuk komen, tapi dari segi Umno sikap keterbukaan telahpun kita katakan dulu, terserah kepada mereka.

"Apapun saya dah sebutkan tadi, peranan perantara atau orang tengah ini mungkin agak lebih diperlukan sekarang... kalau titik pertemuan itu tidak dapat dijalinkan, mungkin peranan orang-orang seperti ini boleh kita ketengahkan," katanya.

Mengenai kenyataan Harussani yang orang Melayu akan hilang kuasa pada pilihan raya umum ke-13 akan datang jika Umno dan PAS terus berdegil untuk tidak bersatu, Muhyiddin berkata adalah lebih baik supaya proses mencari pembaikan dibuat secara senyap daripada melalui media.

"Tak payah nak debat di media, kadang-kadang beri gambaran yang tak betul... tak payah dihebahkan, tapi apapun saya menghargai pandangan beliau, tapi saya tidak ada komen," katanya, sambil menambah soal konteks perpaduan Melayu, Islam dan Bumiputera adalah lebih utama.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata soal kelangsungan hidup Umno amat bergantung kepada sejauh mana proses tranformasi kerajaan dan proses transformasi politik dilaksanakan dan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat bahawa Umno sudah berubah.

Katanya tempoh dua tiga tahun akan datang adalah tempoh yang amat mencabar dan sekiranya Umno tidak mengambil langkah drastik dan membawa perubahan, kuasa politik Umno mungkin akan terancam.

"Sebab itu dalam tempoh yang terdekat, saya ajak semua pemimpin parti berganding bahu, kita tak boleh biarkan perbalahan dan perpecahan berlaku... isu-isu (akar umbi) tidak selesai," tegas beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain