suria

Malaysia, Itali Jalin Kerjasama Pengurusan Trafik Udara

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Itali akan mewujudkan satu kerangka rasmi bagi menjalin kerjasama di dalam bidang pengurusan trafik udara dengan rujukan khusus terhadap operasi dan pembangunan teknologi.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kedua-dua negara mengakui wujud keperluan untuk menjadikan kerjasama dua hala di dalam bidang itu secara rasmi, berikutan wujud cabaran yang semakin meningkat.

Ini termasuk perkara berkaitan pengurusan trafik udara berasaskan timbal balas dan saling memanfaatkan bagi kedua-dua pihak untuk menambah baik dan mengukuhkan lagi kerjasama dua hala, katanya.

"Kedua-dua pihak akan turut mengambil langkah yang perlu bagi mengalakkan dan mempromosikan kerjasama teknikal di dalam penambahbaikan pada tempoh jangka pendek dan sederhana bidang operasi dan teknologi, latihan serta penyelidikan dan pembangunan dan sebarang bidang kerjasama mengenai pengurusan trafik udara yang akan memanfaatkan kedua-dua negara," katanya semasa berucap di majlis menanda tangan perjanjian antara kerajaan Malaysia dan ENAV S.p.A. dari Itali di sini pada Sabtu.

ENAV S.p.A. menyediakan perkhidmatan kawalan trafik udara di Itali dan perkhidmatannya juga termasuk navigasi dan penerbitan maklumat aeronautik.

Kong juga berharap, melalui memorandum ini, keselamatan, kapasiti dan kelicinan aliran trafik udara di ruang udara Malaysia akan dipertingkatkan.

"Komunikasi, navigasi, pemantauan dan pengurusan trafik udara yang kini diwajibkan di dalam pengangkutan udara boleh diterokai lebih jauh lagi bagi memastikan Malaysia berupaya menjelaskan dengan lebih teliti peralatan yang canggih dan moden di dalam pengurusan trafik udara di rantau ini," katanya.

Kong berkata kerjasama antara Malaysia dan Itali itu sudah menjadi lumrah di dalam banyak projek, bersama-sama Jabatan Perbangan Awam (DCA), khususnya yang melibatkan penyertaan syarikat Itali. Sebagai contoh, sesetengah projek adalah Projek mengenai Sistem Radar "Primary" dan "Secondary" di Tawau, Sabah dan Sibu, Sarawak dan Projek Menaik Taraf Sistem Kawalan Trafik Udara Malaysia.

Katanya kerjasama ini membantu meningkatkan lagi usaha mengeluarkan sumber insan yang cemerlang dan keprofesionalisme yang lebih meluas di dalam bidang penerbangan awam di rantau ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain