suria

Kedudukan Dalam Sistem Solar Bawa Tuah Kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Kedudukannya dalam sistem solar menjadikan Malaysia sebuah negara yang "amat beruntung", kata seorang ahli astrologi terkenal dari India.

G. Suresh berkata kedudukan negara ini di garis lintang 20 30' Utara dan garis bujur 1120 30' Timur amat baik kerana ia menerima "tenaga positif" daripada planet lain, yang sekali gus menjadikan Malaysia begitu bertenaga dan kelebihan ini turut dinikmati oleh rakyatnya.

Oleh itu, kata beliau, rakyat Malaysia perlu memanfaatkan tenaga berkenaan dengan hidup secara aman, bersatu-padu dan bekerjasama dalam semua bidang kehidupan.

Ahli astrologi kelahiran Kerala ini juga dikenali ramai melalui karangannya bertajuk 'Be Aware of Yourself - Cosmic Components Configuration'.

Dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, beliau menyarankan kepada kerajaan supaya memanfatkan kelebihan semula jadi itu untuk membawa Malaysia ke tahap kejayaan lebih cemerlang melalui dasar serta program yang lebih berkesan.

Antara perkara yang beliau cadangkan ialah pelaksanaan dasar khas bagi membentuk kanak-kanak prasekolah dan golongan berusia supaya menjadi aset negara yang berguna.

Kata beliau kedudukan global Malaysia juga menjadikan negara ini begitu sesuai untuk menjalankan penyelidikan angkasa lepas kerana ia terletak betul-betul bertentangan dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) sebuah agensi bebas kerajaan Amerika yang bertanggung jawab bagi kegiatan penerbangan dan penjelajahan ke angkasa lepas dan 12 jam terkemudian daripada masa, yang menjadikan negara ini amat sesuai dijadikan tapak untuk menjalankan penyelidikan susulan.

Beliau berkata kelebihan ini akan menjadikan permintaan terhadap penggunaan ruang angaksa Malaysia semakin meningkat pada masa akan datang kerana banyak negara ingin menggunakannya untuk menguji peralatan angkasa lepas ciptaan mereka.

Suresh, yang telah menjelajah ke banyak tempat di dunia, berkata Malaysia mempunyai masa depan yang amat cerah dan ini merupakan suatu anugerah yang amat besar ertinya kepada rakyat negara ini.

Katanya oleh kerana kos sara hidup di Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia, maka negara ini perlu memanfaatkannya untuk menarik lebih banyak pelancong dan pelabur.

"Saya dapati bahawa wang RM10 di Malaysia mempunyai nilai yang jauh lebih besar bagi jumlah wang yang sama di Singapura, New York, Tokyo atau London," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain