suria

Jual Bayi: Polis Sarawak Tahan Dua Lagi Suspek

KUCHING: Polis Sarawak menahan dua lagi suspek berkaitan kes penjualan bayi menjadikan jumlah yang ditahan setakat hari ini meningkat kepada 16 orang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Hamzah Taib berkata kesemua mereka itu termasuk empat warga asing kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Setakat ini juga polis telah menyelamatkan lapan bayi dan kanak-kanak berusia antara 23 hari hingga 12 tahun, katanya kepada pemberita, di sini pad Ahad.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kes tersebut termasuk berkenaan dua suspek yang baru ditahan.

"Kes ini masih lagi dalam siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan kita juga masih menunggu laporan ujian DNA untuk mengenal pasti identiti ibu bapa bayi dan kanak-kanak itu," katanya.

Sementara itu dalam satu kejadian di Sibu semalam, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera ditembak di dada kiri selepas cuba menyerang dua anggota polis berpakaian preman.

Hamzah berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11.20 malam ketika kedua-dua anggota polis tersebut yang baru habis bertugas sedang makan di sebuah restoran.

"Tiga lelaki memasuki restoran tersebut dan seorang daripada mereka menuju ke dapur sebelum keluar dengan sebilah parang. Ketiga-tiga mereka kemudian meluru ke kedai makan yang terletak bersebelahan.

"Mengesyaki sesuatu yang tidak kena, kedua-dua anggota polis tadi mengejar ketiga-tiga suspek dan berlaku pergelutan antara suspek yang memegang parang menyebabkan salah seorang anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan," katanya.

Dua lagi suspek berjaya melarikan diri, manakala remaja itu kini dirawat di Hospital Umum Sibu dan berada dalam keadaan stabil, katanya menambah polis sedang mengesan dua suspek tersebut bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain