suria

Jangan Jalani Pembedahan Organ di Hospital Tidak Diiktiraf - Liow

BENTONG: Rakyat Malaysia dinasihati supaya tidak melakukan pembedahan organ di luar negara di hospital yang tidak diiktiraf Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pembedahan di hospital yang tidak diiktiraf kerajaan boleh mendatangankan pelbagai risiko termasuk membawa maut.

"Kita tidak menggalakkan orang ramai membuat pembedahan organ tanpa pemeriksaan yang rapi. Kementerian akan memastikan hospital yang mahu dijalankan pembedahan oleh rakyat Malaysia diiktiraf dan disahkan terlebih dahulu," katanya di sini, Ahad.

Beliau mengulas laporan bahawa terdapat ribuan rakyat Malaysia yang membeli dan melakukan pembedahan organ di China dan India yang mana ini boleh mendedahkan mereka kepada risiko sampingan seperti jangkitan hepatitis B, radang hati, HIV dan organ tidak berfungsi.

Liow juga bimbang tentang kemungkinan berlaku penipuan oleh sindiket yang berselindung di sebalik urusan jual-beli organ di luar negara.

Katanya hospital di dalam negara mampu menjalankan sebarang pemindahan organ.

Bagi menambahkan stok organ, beliau berkata kementeriannya akan menambah jumlah pasukan khas yang berfungsi menjalankan pengambilan organ daripada penderma. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain