suria

PM Wanita Pertama Australia Bubar Parlimen Umum P'raya Baru 21 Ogos

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, yang baru sahaja mengetuai negara itu tiga minggu lalu selepas mengulingkan Kevin Rudd hari ini mengumumkan pembubaran parlimen dan memilih 21 Ogos sebagai tarikh pilihan raya baru negara itu.

Beliau yang mencatat sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Australia menyeru rakyat negara itu sekali lagi memberikan mandat besar kepada partinya iaitu Parti Buruh untuk memimpin kerajaan pusat.

Para pengkritik menyifatkan tindakannya itu sebagai satu keputusan yang tergesa-gesa tetapi tetapi Gillard segera menegaskan bahawa beliau berbuat demikian sebagai memenuhi janjinya sebaik sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Rudd dalam satu rampasan kuasa “secara terhormat” beberapa minggu lalu.

Pungutan suara yang dijalankan mendapati, Parti Buruh mempunyai peluang yang besar untuk terus memerintah Australia tetapi Parti Konservatif pimpinan Tony Abbott berjanji akan memberikan tentangan sengit.

Gillard merupakan timbalan kepada Kevin Rudd sebelum Rudd digulingkan. Rudd menjadi perdana menteri Australia dan pemimpin Parti Buruh yang paling popular dalam sejarah moden negara itu apabila dia mengembalikan partinya ke tampuk pemerintahan pada November 2007 selepas 11 tahun berada di barisan pembangkang.

Bagaimanapun popularitinya menjunam awal tahun ini selepas beliau mengambil beberapa langkah yang dilihat tidak popular termasuklah menangguhkan janjinya pada pilihan raya lalu untuk mewajibkan industri yang menghasilkan gas karbon menanggung kos dan membayar untuk setiap gas yang mereka hasilkan.

Artikel Lain